Kertas ringkasan ini akan menyentuh dua mercu tanda penting dan peristiwa di belakangnya:
1. Pelesenan Mesin Cetak bermula 1920.
2. Permit Penerbitan bermula 1939.
Ada sekurang-kurangnya tiga peristiwa penting yang mencorakkan sistem akhbar di negara ini.
Yang pertama ialah Revolusi terhadap Maharaja China mulai tahun 1911 , Perang
Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.
Pada amnya, akhbar di Straits Settlements menikmati kebebasan akhbar selama 85 tahun dari
tahun 1835 hingga 1920. Bagaimanapun, selepas menghadapi kejadian-kejadian yang tidak
diingini oleh akhbar-akhbar vernakular, khususnya akhbar berbahasa Cina di Singapura mulai
tahun 1911, Penasihat Cina pada waktu itu telah meminta Kerajaan Straits Settlements,
mengadakan kawalan terhadap akhbar. Ini berlaku berikutan pergaduhan yang berlaku khasnya
di kalangan masyarakat Cina di Singapura kerana wujud dua belah pihak, yang menyokong dan
yang menentang Maharaja China sejak tahun 1911 berikutan pemberontakan terhadap Maharaja
itu.
Akhbar telah menjadi medan pertarungan yang menyebabkan berlaku pergaduhan di kalangan
masyarakat Cina di Singapura dan juga di Kuala Lumpur.
Undang-undang yang digubal ialah Printing Presses Ordinance 1920. Mereka yang ingin
memiliki dan menggunakan mesin cetak diperlukan memiliki suatu lesen mesin cetak.
Permohonan perlu dibuat kepada Kerajaan terlebih dahulu dan ia boleh ditolak. Jika ditolak
rayuan boleh dibuat kepada Governor.
Sudah semestinya pihak akhbar menentang tindakan Kerajaan ini. Akhbar-akhbar berbahasa
Inggeris adalah antara yang menentang kuat kerana mereka merasa tidak terlibat. Akhbarakhbar
Inggeris memberi berbagai alasan. Akhirnya, akhbar berbahasa Inggeris berjaya kerana
undang-undang itu memberi peruntukan kepada Governor untuk mengecualikan mana-mana
mesin cetak daripada operasi undang-undang itu.
Selepas undang-undang itu diwartakan, mesin cetak yang mencetak akhbar berbahasa Inggeris
dikecualikan daripada kuatkuasa undang-undang itu. Akhbar berbahasa Inggeris pada waktu itu
ialah The Straits Times, Singapore Free Press, Singapore Tribune, semua diterbitkan di, Singapura; The Penang Gazette dan The Straits Echo diterbitkan di Pulau Pinang.
Anehnya, apabila pertama kali arahan dibuat terhadap pengecualian itu, dalam warta kerajaan
disebut akhbar-akhbar berbahasa Inggeris itu dikecualikan. Sebenarnya, yang dikecualikan ialah
syarikat mesin cetak yang mencetak akhbar-akhbar itu yang dikecualikan. Perkara ini dibetulkan
kemudian selepas disedari kesilapannya.
Yang anehnya juga, akhbar yang hendak dikawal tetapi kenapa mesin cetak yang dikawal?
Undang-undang yang sama diperkenalkan di Federated Malay States dalam tahun 1924 yang
dikenali sebagai Printing Presses Enactment 1924.
Pelesenan mesin cetak merupakan mercutanda pertama dalam undang-undang mesin cetak.
Mercutanda kedua ialah permit penerbitan.
Permit penerbitan dimasukkan dalam Ordinan Mesin Cetak 1920 pada tahun 1939 sebagai usaha
untuk mengawal pengaruh Jepun menjelang Perang Dunia Kedua.
Pihak Cawangan Khas telah dapat menghidu tindakan Jepun untuk menjadikan Singapura
sebagai tempat melancarkan propaganda sebagai persediaan peperangan itu. Beberapa buah
akhbar Jepun diwujudkan di Singapura. Selain itu akhbar berbahasa Cina juga dikenalpasti
dibiayai oleh Jepun untuk tujuan yang sama. Sebuah akhbar berbahasa Inggeris juga diterbitkan
dikenali sebagai Singapore Herald. Langkah terakhir Jepun ialah membeli sebuah akhbar
berbahasa Melayu.
Lengkah mengawal propaganda Jepun ini dilakukan dengan memasukkan peruntukan “permit
penerbitan” dalam undang-undang itu. Peruntukan ini membolehkan pihak pemerintah untuk
memasukkan syarat bahasa di dalam sebarang permohonan untuk menerbitkan akhbar. Dengan
cara ini kerajaan dapat mengawal bahasa apa yang boleh digunakan oleh penerbit akhbar.
Kedua-dua mercutanda ini kekal dalam undang-undang mesin cetak hingga sekarang di
Malaysia.
Sila baca Bab 9 hingga 13 buku Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia
Sejak 1806 untuk maklumat lanjut.
.
September 27, 2009 at 3:05 am |
Sejarah pemulaan industri kommunikasi di tanah air panjang untuk diperbincangkan. Setiap industri juga perlu ada permulaan dan perkembangan mengikut kitaran semasa, dasar dan sekatan. Mungkinkah desebabkan Tanah Melayu kerap di jajah menyebabkan kita sukar membentuk dasar kommunikasi mengikut acuan tersendiri?
September 27, 2009 at 3:31 am |
27 Sept. 2009
Sdr A Kadir.
Terima kasih kerana memberi komen mengenai permulaan sistem alkhbar di Malaysia.
Persoalan ini cukup menarik. Mungkin saya perlu memberi jawapan yang lebih terperinci dalam satu posting yang lain.
Buat masa ini biarlah saya katakan bahawa pembentukan undang-undang dan dasar berlaku dalam masa penjajahan Inggeris sahaja. Belanda dan Portugis tidak meninggalkan apa-apa dari segi undang-undang dan dasar yang dibawa hingga ke hari ini.
Sistem media di negara ini bermula dengan pengenalan mesin cetak dalam tahun 1806. Jepun juga tidak meninggalkan apa-apa dari segi dasar dan undang-undang. Mungkin dari segi semangat untuk kemerdekaan.
Dilihat dari sudut industri, terdapat industri persuratkhabaran (media cetak), penyiaran (media elektronik– radio dan tv), dan media baru (internet). Akhbar bermula 1806, radio 1930an, tv 1963, media baru 1990an. Pertambahan industri dari semasa ke semasa memerlukan perubahan dasar dan undang-undang tetapi ia masih dalam kerangka yang dipersetujui pada satru-satu ketika.
Cabaran membentuk dasar komunikasi dalam acuan tersendiri lebih disebabkan oleh apa yang disebut sebagai persetujuan mengikut “acuan tersendiri”. Di sinilah letaknya masalah itu. Kepelbagaian bangsa, agama, kepercayaan tentang kebebasan media merupakan satu cabaran besar.
Safar
September 27, 2009 at 3:35 am |
-Teori normatif
-Teori Autoritarian
-Teori Kebebasan
-Teori Komunis
Teori d atas di kemukakan oleh Siebert dan diperbincangkan sehingga kini. Saya rasakan ketia-tiga teori ini membantu industri kommunikasi.
Menurut Merrill – ke 4 teori di atas tidak sejajar kerana Teori Tanggungjawab Sosial bebeza dg Autoritarian,Kebebasan dan Komunis
namun apa yg penting gabungan teori ini telah membentuk kepercayaan kerajaan pemerintah di sesebuah negara.
September 27, 2009 at 12:43 pm |
27 Sept. 2009
Sdr A Kadir,
Sila baca tulisan saya mengenai perkara ini dalam Bab 2, Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia sejak 1806.
Safar