Undang-Undang Mesin Cetak & Undang-undang Hasutan

4 Sept. 2009

Undang-undang Mesin Cetak dan Penerbitan dan Undang-undang Hasutan

Kuliah ini membincangkan mengenai Undang-undang Mesin Cetak dan Penerbitan. Sebelum ini  huraian dari aspek sejarah perkembangannya dan juga isu-isu utama di dalam undang-undang itu sudah diberikan.  Kuliah ini memberi huraian selanjutnya bermula selepas Perang Dunia Kedua.

Kuliah ini juga meneliti Undang-undang Hasutan dan seterusnya melihat keperluannya di dalam negara seperti Malaysia. Ia juga melihat sejauh mana Undang-undang hasutan ini memberi kesan kepada amalan demokrasi negara ini.

Di akhir kuliah ini pelajar diharap dapat menjelaskan bagaimana undang-undang berkaitan mesin cetak dan penerbitan berkembang di negara ini.

Undang-undang Mesin Cetak dan Penerbitan

 Ciri penting yang perlu diberi perhatian terhadap undang-undang mesin cetak dan penerbitan ialah sebelum Perang Dunia Kedua undang-undang ini ditabir secara berasingan. Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Singapura dan Melaka mempunyai sebuah undang-undang yang dikenali sebagai Ordinan Mesin Cetak 1920. Di Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang meliputi Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang ada satu undang-undang yang dikenali sebagai Enakmen Mesin Cetak 1924. Di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu mempunyai enakmen mesin cetak masing-masing.

 Tetapi selepas Perang Dunia Kedua, dan selepas berlaku perubahan dalam struktur pemerintahan khususnya selepas terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, undang-undang mesin cetak disatukan dan dipusatkan di bawah kuasa persekutuan. Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada semua negeri Melayu, Pulau Pinang dan Melaka. Singapura dipisahkan dan menjadi sebuah crown koloni British yang berasingan.

 Undang-undang Hasutan juga mempunyai sejarah sebelum Perang Dunia Kedua. (Sila baca buku Akhbar dan Kuasa berkaitan perkara ini).

 Kedua-dua undang-undang ini diperkenalkan kembali dalam sebaik saja pihak Parti Komunis Malaya (PKM) melancarkan pemberontakan terhadap Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru ditubuhkan iaitu pada 1 Februari 1948. Pemberontakan Komunis ini bermula dalam bulan Jun 1948. Kedua-dua undang-undang ini yang boleh dianggap sebagai saudara kembar digubal dengan segera berpandukan undang-undang yang digunakan pada sebelum Perang Dunia lagi. Tujuan utama kedua-dua undang itu iaitu Ordinan Mesin Cetak 1948 dan Undang-undang Hasutan 1948 ialah untuk menjadi ia sebagai satu strategi untuk memerangi peperangan terhadap Komunis itu.

 Ordinan Mesin Cetak bertujuan menghalang pihak Komunis atau barisan hadapannya (seperti kesatuan  buruh dan sebagainya) menubuhkan syarikat percetakan untuk mencetak bahan-bahan komunis. Ada  beberapa buah akhbar yang didapati menyiarkan bahan propaganda komunis diambil tindakan dengan menutupnya. Selain undang-undang itu, kerajaan juga mengeluarkan Emergency Regulations. Tindakan-tindakan terhadap akhbar banyak diambil terhadap akhbar Cina. Tindakan terhadap pemberontakan komunis ini diambil  secara bersama oleh Kerajaan Perselutuan Tanah Melayu dan juga Kerajaan kolonial Singapura.

 Oleh kerana tidak ada saluran sah, pihak komunis dan para penyokongnya mencetak bahan propaganda komunis ini dalam bentuk stensilan dan diedar dari rumah ke rumah.

 Ordinan Hasutan lebih menumpukan kepada perkara-perkara yang berbentuk kandungan yang berkencedurangan menghasut.

 Pindaan-pindaan yang dilakukan terhadap Akta Mesin Cetak  dari tahun 1948 hingga sekarang

 Terdapat empat pindaan yang dilakukan dalam undang-undang mesin cetak selepas ia diperkenalkan semua dalam tahun 1948.

  1. Menjelang Kemerdekaan.

Pindaan ini adalah berkaitan dengan pengedaran akhbar Singapura di Persekutuan Tanah Melayu. Hampir semua akhbar utama yang diedarkan di Malaya pada ketika itu datangnya dari Singapura. Hanya terdapat sebuah akhbar yang diterbitkan di Kuala Lumpur iaitu The Malay Mail. Langkah ini bagi membolehkan akhbar-akhbar dari Singapura diberi kebenaran untuk diedarkan di Malaya. Langkah ini adalah sebagai persediaan untuk mengelak daripada daripada keadaan yang tidak diingini kerana Malaya dan Singapura adalah dua negara yang berasingan. Sebelum itu kedua-duanya di bawah pemerintahan British.

 Akhbar-akhbar Singapura pada mulanya memohon taraf pengedaran ini, tetapi kemudian semuanya berpindah ke Kuala Lumpur dan menjadikan Kuala Lumpur pusat penerbitan utama mereka, termasuk akhbar The Straits Times.

 2.               Mempastikan Penguasaan Majoriti Saham Dipegang kepentingan Tempatan

Pindaan kepada akta ini dibuat dalam tahun 1974 kerana kerajaan mahu pegangan kepentingan dalam syarikat akhbar yang sebahagian besarnyadipegang oleh kepentingan luar adalah tidak baik untuk negara.

Sebelum ini, pada tahun 1972,  akhbar The Straits Times mengubah pegangannya melalui tindakan politik (Sila rujuk buku Akhbar dan Kuasa). Selepas berkuatkuasanya pindaan itu akhbar-akhbar lain khususnya akhbar Cina seperti Nanyang Siang Pau dan Sin Chew  Jit Poh bertukar pegangan sahamnya kepada kepentingan tempatan.

 3.              Menggabung dan Mewujudkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984

Pada tahun 1984 Akta Mesin Cetak digabung dengan Ordinan Penerbitan yang Tidak Diingini 1958. Dengan gabungan ini akta baru menambah satu ciri baru iaitu penerbitan yang tidak diingini. Dua ciri utama sebelum ini iaitu pelesenan mesin cetak dan permit penerbitan kekal di dalamnya.

 4.              Memasukkan Peruntukan Berita Palsu dan Kemuktamadan Keputusan Menteri

                 Pindaan seterusnya dibuat dalam tahun 1987 dengan memasukkan tiga peruntukan baru. Peruntukan pertama ialah mengenai Berita Palsu, yang kedua menjadikan tindakan menteri yang bertanggungjawab muktamad. Ini bermakna tindakan itu seperti menggantung akhbar, membatal atau tidak meluluskan permohonan untuk menerbit akhbar sebagai muktamad. Ia tidak boleh dirayu kepada mana-mana mahkamah. Peruntukan ketiga ialah mereka yang tidak puashati terhadap tindakan kerajaan ini tidak boleh membuat representasi.

 Ketiga-tiga peruntukan tambahan ini menjadi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan semakin ketat.

 Selepas pindaan ini dikuatkuasakan empat orang telah diambil tindakan mahkamah iaitu kes Editor Borneo Mail Phung Chen Chun, kes Irene Fernandez (Kes Memorandum berkaitan pendatang tanpa izin Bangladesh di Kem Semenyih),

                 Kes Khalid Jefri dan kes Lim Guan Eng (Sila baca butiran kes ini dalam buku Mengenali Undang-Undang Akhbar dan Siber).

Akta Hasutan 1948 sejak 1948

Ada lima kecenderungan menghasut di bawah Akta Hasutan 1948 apabila ia diperkenalkan kembali dalam tahun 1948.

 Lima kecenderungan itu ialah:

  1. Mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak suka terhadap mana-mana raja atau kerajaan s3(1)(a).
  2. Membangkitkan rakyat mana-mana raja supaya cuba diubah dengan apa cara lain daripada cara sah s3(1)(b).
  3. Mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak suka terhadap pentadbiran keadilan dalam Malaysia atau mana-mana negeri (s3(1)(c).
  4. Menimbulkan perasaan tidak puashati atau tidak suka di kalangan rakyat Yang di Pertuan Agong atau rakyat raja mana-mana negeri  atau di kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana negeri s3(1)(d).
  5. Mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk Malaysia s3(1)(e)..

 Pindaan yang dibuat sejak 1948 hingga sekarang.

 Selepas kejadian 13 Mei 1969, satu lagi kecenderungan dimasukkan menjadikan enam kecenderungan semuanya.

 Kecenderungan yang keenam ialah tidak boleh menyoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan-peruntukan Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan, atau Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan s3(1)(f).

 Bahagian 3 ialah mengenai Kerakyataan. Ini bermakna tidak sesiapa boleh mempertikai kerakyatan mana-mana rakyat negara ini. Perkara 152 ialah mengenai Bahasa Kebangsaan, Perkara 153 ialah mengenai keistimewaan orang Melayu dan bumiputera lain, dan Perkara 181 ialah mengenai imuniti raja-raja Melayu.

 Beberapa orang telah diambil tindakan mahkamah kerana melanggar undang-undang.  Antara mereka yang diambil tindakan ialah Dr Ooi Kee Saik, Fan Yew Teng, Param Cumaraswamy, Melan Abdullah, Mark Koding, Oh Keng Seng (Sila baca kes-kes mereka dalam buku Mengenali Undang-undang Media dan Siber).

 Dari satu segi kedua-dua undang-undang ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kebebasan bersuara dan kebebasan bersuara adalah sesuatu yang penting dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Bagaimanapun,  sekatan yang dikenakan melalui kedua-dua undang-undang ini adalah tertumpu kepada beberapa perkara khusus. Ia tidak menyekat kebebasan bersuara secara keseluruhannya. Dari satu aspek yang lain bolehlah dikatakan tanpa sekatan yang diperuntukkan dalam kedua-dua undang-undang ini mungkin tidak wujud ketidakstabilan dan memusnahkan demokrasi itu sendiri.

 Rujukan

  1. Mohd Safar Hasim. 2002. Mengenali Undang-undang Media dan Siber. Kuala Lumpur. Utusan Publications and Distributors.
  2. Mohd Safar Hasim. 1996. Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia Sejak 1806. Kuala Lumpur. Penerbit Universiti Malaya.

 

*****

2 Responses to “Undang-Undang Mesin Cetak & Undang-undang Hasutan”

  1. 2010 in review « Industri Komunikasi, Dasar & Undang-undang Says:

    [...] Undang-Undang Mesin Cetak & Undang-undang Hasutan September 2009 [...]

  2. 2010 In Review | Says:

    [...] Undang-Undang Mesin Cetak & Undang-undang Hasutan September 2009 Tweet This Post Posted in: Uncategorized [...]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: