Archive for the ‘Soalan Lazim Mengenai Ulasan Artikel Jurnal’ Category

Soalan Lazim Mengenai Ulasan Artikel Jurnal

October 9, 2009

9 Okt. 2009

SOALAN LAZIM

Soalan. Artikel yang bagaimanakah boleh dibuat ulasan dan kritikan?

Pilihlah artikel yang berkaitan dengan tumpuan kursus ini, sama ada mengenai industri komunikasi, dasar komunikasi atau undang-undang yang berkaitan dengan komunikasi, ataupun yang menyentuh ketiga-tiga aspek yang dinyatakan itu.

Soalan. Bolehkah saya mengambil artikel dalam suratkhabar atau internet untuk dibuat ulasan?

Artikel akhbar tidak boleh diambil untuk dibuat ulasan dan kritikan. Ini kerana artikel akhbar adalah pendek dan tidak ditulis secara akademik. Artikel dari internet boleh diambil JIKA ia merupakan daripada sebuah jurnal. Artikel yang berdiri sendiri tidak boleh dianggap sebagai artikel jurnal.

Soalan. Bagaimana mengetahui sama ada ia sebuah artikel jurnal atau tidak?

Setiap artikel jurnal mempunyai perkara-perkara berikut: i. Nama Jurnal ii. Tajuk Artikel iii. Ada bilangan/volume iv. Ada tahun terbit v. Ada halaman (boleh tengok halaman kandungan). Apabila menyerahkan tugasan anda diminta menyatakan maklumat ini.

Soalan. Bolehkah saya mengulas sesebuah artikel berkaitan dengan pendidikan ataupun komunikasi keorganisasian?

Tujuan utama ulasan dan kritikan jurnal ini dibuat ialah untuk membantu anda memahami dengan lebih mendalam aspek-aspek daripada kursus ini. Membuat kritikan mengenai sesuatu di luar daripada aspek itu tidak akan membantu matlamat tersebut. Perlu diingat bidang komunikasi adalah agak luas. Sebuah artikel yang mengulas mengenai pilihan model untuk muka depan majalah, tentulah tidak sesuai dibuat ulasan atau kritikan jika ia hanya membincangkan dari aspek kreatif semata-mata. Bagaimanapun, jika ia membincangkan dari sudut dasar, misalnya tidak boleh menyiarkan gambar bogel atau lucah, ia boleh dibuat ulasan dan kritikan.

Soalan. Bolehkah saya mengambil buku atau bab dalam buku untuk diulas dan dikritik?

Buku dan bab dalam buku memang boleh dibuat ulasan dan kritikan. Saya ingin mencadangkan sebuah buku iaitu Dasar Komunikasi Berdasarkan Pendekatan Islam Hadhari: Satu Penelitian Awal. Ada beberapa buah bab di dalam buku itu yang boleh dibuat ulasan dan kritikan. Buku ini boleh diperolehi daripada Unit Penyelidikan di Pusat Pengajian Media dan Komunikasi.

Soalan. Bagaimana membuat ulasan dan kritikan?

Langkah pertama ialah membaca dan memahami penulisan tersebut. Soalan-soalan berikut harus ditanya: Apakah idea pusat, atau idea utama, atau tesis (central idea or thesis) penulisan itu? Apakah yang cuba digarap oleh penulis. Apakah isi-isu pentingnya. Adakah ia menggunakan sesuatu teori atau falsafah tertentu? Apakah kupasannya jelas dan menarik? Adakah ia mudah difahami? Adakah wujud kesebatian dalam penulisannya – dari awal hingga akhir? Adakah penulisan itu menolong anda memahami isu yang diperkatakan?

Dalam menghasikan tugasan, buatlah dalam tiga bahagian: bahagian pertama ringkasan penulisan tersebut (sekadar membolehkan orang ketahui), kedua, tonjolkan beberapa isu yang penting dan menarik dalam penulisan itu dan berilah ulasan bagi setiap isu yang dikemukakan, akhir sekali buatlah kesimpulan anda. Gunalah kreativi anda sendiri untuk mengemukakan penulisan itu. Saya sudah member tiga contoh ulasan. Cuba baca balik ulasan itu.

Selamat membaca.

 

Kita membentuk kehidupan kita, dan bentuknya ditentukan pada amnya oleh sikap kita sendiri.

We each shape our own life, and the shape of it is determined largely by our attitude”. M Russel Ballard (Dipetik daripada: Inspirational Qoutes by World’s Greatest Personalities. By Ganesh M. Kuala Lumpur. VM Vision Marketing).


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.