Permulaan Sistem Akhbar di Malaysia

5.

Permulaan Sistem Akhbar di Malaysia- Bahagian 1

Kuliah ini menghuraikan bagaimana sistem undang-undang Malaysia bermula iaitu dengan kedatangan British yang membawa masuk unsur undang-undang Inggeris. Kuliah ini menghuraikan bagaimana undang-undang akhbar bermula. Ia akan menyusur-galur kepada undang-undang dan peraturan berkaitan akhbar di India di bawah pemerintahan  Syarikat Hindia Timur British.

Kertas  ringkasan ini akan menyentuh dua tempoh masa berikut:

i. Tempoh masa 1806-1835: Penapisan Fizikal

ii. Tempoh masa 1835-1920: Zaman Kebebasan Akhbar

 Pada peringkat awal, sistem akhbar di Malaysia banyak dipengaruhi oleh undang-undang dan peraturan  yang dikuatkuasakan di India oleh British East India Company, khususnya di tiga presidensi iaitu Presidensi Bengal, Presidensi Bombay dan Presidensi Madras. Mulai September 1805, Pulau Pinang telah dinaikkan taraf menjadi sebuah presidensi sebagaimana di India. Kerajaan setiap satu presidensi ini diketuai oleh seorang governor.

Akhbar pertama di Malaysia diterbitkan di Pulau Pinang pada 1 Mac 1806 dengan nama The Government Gazette. Dalam tempoh hidupnya selama 22 tahun, akhbar ini mempunyai beberapa nama tetapi ia lebih dikenali sebagai The Prince of Wales Island Gazette.

Akhbar ini ditubuhkan oleh seorang pencetak dan penerbit dari Madras bernama Andrew Burchett Bone yang berhijrah ke Pulau Pinang selepas pulau itu dinaikkan taraf. Beliau tiba di Pulau Pinang bersama mesin cetaknya dalam bulan Februari 1806. Bone terus memohon untuk menubuh sebuah syarikat mesin cetak dan untuk menerbit sebuah akhbar. Permohonannya diluluskan tetapi dengan syarat Bone menyerahkan proof sheet akhbar mingguannya untuk disemak oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang boleh membuang apa-apa bahan yang dianggap tidak baik.

Peraturan penapisan ini merupakan peraturan yang berkuatkuasa di India pada waktu itu dan juga di beberapa tanah jajahan East India Company termasuk di Ceylon. Bone menerima syarat ini. Malah beliau sendiri yang menyatakan mengenai peraturan yang berkuatkuasa di India itu. Sebagai seorang pencetak dan penerbit, Bone sebenarnya cukup mengetahui mengenai peraturan yang berkuatkuasa kerana beliau sendiri menerbit dua buah akhbar di Madras iaitu The Hircarrah dan Madras Gazette ketika di Madras.

Di Bengal, angin perubahan berlaku dalam tahun 1818 apabila pihak berkuasa di sana keperluan penapisan tidak diperlukan lagi kerana tidak ada masalah didapati daripada akhbar dari tahun 1799 hingga tahun 1818. Oleh yang demikian pihak berkuasa telah mewujudkan satu peraturan baru di mana para editor tidak lagi perlu menyerahkan proof sheet akhbar mereka sebelum  dicetak.

Bagaimanapun, mereka diminta mematuhi untuk tidak menyiarkan perkara-perkara yang tidak disenangi oleh kerajaan. Peraturan ini dikenali sebagai Peraturan Bengal 1818  (Sila lihat perincian peraturan ini dalam buku Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia Sejak 1806). Peraturan Bengal 1818 ini juga dihantar kepada Presidensi Pulau Pinang tetapi ia tidak dilaksanakan.

Malangnya, peraturan ini tidak berkesan. Para editor tidak dapat mengawal kebebasan yang diberikan. Berikutan terdapat banyaknya aduan, Kerajaan Bengal telah menggubal sebuah undang-undang pada tahun 1823 untuk mengetatkan kawalan terhadap akhbar. Di Bombay undang-undang yang hampir sama juga diperkenalkan.

Pada tahun 1824, sebuah akhbar baru diwujudkan di Singapura dikenali sebagai Singapore Chronicle. Akhbar ini merupakan sebuah akhbar perdagangan. Manakala di Melaka sebuah akhbar juga diterbitkan pada tahun 1826  yang dikenali sebagai The Malacca Observer. Apabila tiga negeri selat ini digabungkan dalam tahun 1826 menjadi The Straits Settlements, John Fullerton yang merupakan Governor Pulau Pinang yang dinaikkan pangkat menjadi Governor Straits Settlements yang pertama telah mengarahkan supaya akhbar The Singapore Chronicle dan The Malacca Observer  mematuhi peraturan Peraturan Bengal 1818.

Governor Fullerton sebenarnya tidak mengetahui kedudukan sebenar kedua-dua akhbar ini. Beliau beranggapan kedua-dua akhbar itu bebas dan tidak dikawal. Apabila beliau menyedarinya, beliau telah menarik balik arahan itu. Di Melaka, bagaimanapun, tidak menguatkuasakan Peraturan Bengal itu kerana Residen Melaka merasa oleh kerana akhbar Malacca Observer menerima bantuan daripada Kerajaan dari segi kewangan ia perlu dikawal.

Kawalan ketat terhadap akhbar melalui peraturan dan undang-undang ini berjalan sehingga tahun 1835 apabila semua peraturan dan undang-undang dimansuhkan. Sebagai gantinya sebuah undang-undang baru diwujudkan pada bulan September 1835 yang dikenali sebagai Indian Act No. XI of 1835. Undang-undang ini hanya memerlukan mesin cetak didaftarkan.

Undang-undang ini turut dikuatkuasakan di Straits Settlements. Sebagai menyambut undang-undang yang membebaskan akhbar daripada kawalan Kerajaan ini, sebuah akhbar diterbitkan dikenali sebagai The Singapore Free Press pada bulan Oktober 1835. Oleh kerana akhbar ini mendapat sambutan yang baik daripada kalangan pembaca, tidak lama selepas itu akhbar Singapore Chronicle telah memberhentikan penerbitannya.

Pada tahun 1886, sebuah undang-undang baru diperkenalkan di Straits Settlements yang dikenali sebagai Ordinan Pendaftaran Buku 1886 yang diperundangkan di negeri-negeri Selat. Ordinan itu bertujuan untuk memulihara buku-buku yang dicetak di negeri-negeri Selat dan mendaftarkan buku-buku tersebut. Undang-undang ini digubal  selepas Parlimen British  memperundangkan Hak Cipta Antarabangsa 1886. Undang-undang ini meliputi Tanah Jajahan Inggeris.  Undang-undang Pendaftaran Buku 1886 melaksanakan Hak Cipta Antarabangsa yang merangkumi Konvensyen Berne mengenai hak cipta.

Undang-undang Pendaftaran Buku ini kemudiannya digabungkan dengan Akta India No. XI 1835 yang menjadi sebuah ordinan yang dipanggil Ordinan No. 2 (Pencetak dan Penerbit). Undang-undang ini berkuatkuasan sehingga 1920 apabila undang-undang pelesenan mesin cetak diperkenalkan kembali.

Ringkasan ini meliputi Bab 3 hingga Bab 8 buku Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia Sejak 1806.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: