Cadangan memindahkan Komunikasi ke Kementerian Penerangan

4 Okt. 2009

 

  Publication : Berita Harian
  Edition :  
  Date : 29/10/2008
  Page Number : 24
  Headline : Mentadbir media lebih telus, bertanggungjawab
  Words : 862
  Byline : Oleh Prof Dr Mohd Safar Hasim
  Text :  
 
MENTERI Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, baru-baru ini menyatakan
kerajaan sedang melihat bagaimana hendak mentadbir media supaya ia lebih
telus dan bertanggungjawab. Oleh itu, beliau ingin berbincang lebih
lanjut mengenai penubuhan sebuah suruhanjaya media untuk menangani hal
ehwal media di negara ini.
  Ahmad Shabery mengulas cadangan saya di Kolokuim AIDCOM di Kuala Lumpur
pada 20 Oktober lalu. Dalam satu syarahan pada 2004, saya pernah
mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Media Malaysia, sebagai kembar kepada
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di bawah Kementerian Tenaga, Air
dan Komunikasi (KTAK).
  Saya membangkitkan isu ini sekali lagi dalam Kolokium AIDCOM dan
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam ucapan dasarnya
turut menyentuh mengenai dasar media nasional dan pembentukan Majlis
Media Nasional.
  Sebenarnya, ada perbezaan dalam cadangan untuk menubuhkan Majlis Media
dan pembentukan Suruhanjaya Media. Pada 2001, Institut Akhbar Malaysia
(IAM) mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menubuhkan Majlis Media
berikutan permintaan kerajaan selepas sekumpulan wartawan mengemukakan
satu memorandum.
  Seperti biasa cadangan seperti itu dikemukakan kepada agensi tertentu,
tetapi tidak sampai kepada kerajaan. Kalangan wartawan tidak bersetuju
dengan cadangan itu kerana mereka melihat Majlis Akhbar sebagai satu
bentuk kawalan.
  Majlis Media Nasional yang diumumkan Syed Hamid dijangka menjadi sebuah
majlis statutori yang diluluskan oleh Parlimen, tetapi ditadbir sebagai
sebuah badan kawal selia sendiri. Majlis Media ini berkemungkinan
diletakkan di bawah IAM.
  Untuk mengelak kekeliruan, biar saya perkembangkan idea Suruhanjaya
Media ini. Di bawah konsep awal, Suruhanjaya Media ini akan mengambilalih
fungsi penyeliaan akhbar dan undang-undang di Kementerian Dalam Negeri
(KDN).
  Suruhanjaya ini akan mentadbir undang-undang akhbar yang diharap dapat
dipinda peruntukan mengenai pelesenan dan permit penerbitan. Suruhanjaya
ini dicadang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai
permulaan selama 10 tahun.
  Selepas itu, ia dikaji semula ke arah kawal selia sendiri. Di bawah
suruhanjaya ini, diwujudkan Majlis Media atau Ombudsman. Di bawah
Suruhanjaya Media ini, syarikat akhbar boleh ditubuhkan dengan lebih
bebas.
  Secara idealnya, semua media termasuk media cetak patut diletakkan di
bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Bagaimanapun, oleh kerana
sejarah, pengawasan akhbar diletakkan di bawah KDN, manakala penyiaran
dan penerangan diletakkan di bawah Kementerian Penerangan. Ini
menjejaskan langkah yang diambil kemudian seperti penubuhan KTAK.
  Pemberontakan oleh Parti Komunis Malaya dalam Jun 1948 memperlihatkan
pengenalan semula Ordinan Mesin Cetak 1948 (yang pertama kali
diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat pada 1920 dan di negeri Melayu
beberapa tahun kemudian) dan Ordinan Hasutan 1948.
  Akhbar terletak di bawah Ordinan Mesin Cetak. Kedua-dua undang-undang
ini dilihat sebagai undang-undang keselamatan untuk mengawal akhbar
daripada digunakan komunis dan organisasi hadapannya dan dengan demikian
diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri.
  Pada awal Darurat Malaya, kerajaan menggunakan radio dan filem sebagai
alat propaganda untuk memenangi hati dan fikiran rakyat. Radio, filem dan
penerangan kemudian menjadi jabatan kerajaan.
  Apabila KTAK ditubuhkan, sebahagian daripada kuasa di bawah Kementerian
Penerangan dipindahkan ke Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
  Pada waktu darurat, adalah berpatutan untuk melihat akhbar sebagai
suatu perkara keselamatan dan diletakkan di bawah KDN, tetapi 60 tahun
sudah berlalu, pemberontakan komunis sudah berakhir dengan termeterai
Perjanjian Damai pada 1989.
  Sepatutnya, wujud perubahan besar melihat akhbar dalam paradigma lama
keselamatan kepada satu paradigma baru bukan keselamatan untuk tujuan
pembangunan negara. Pada masa sama, patut ada semakan terhadap KTAK.
  Jelas sekali, tenaga, air dan komunikasi dilihat sebagai komoditi dalam
membentuk kementerian itu. Komunikasi tidak harus dilihat sebagai
komoditi. Saya percaya komunikasi tidak sesuai diletakkan sama dengan
tenaga dan air. Melihat komunikasi daripada perspektif komoditi
menjejaskan bagaimana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menangani
pelbagai aduan mengenai industri penyiaran.
  Pada masa ini, sekurang-kurangnya empat kementerian terbabit dalam
industri media, komunikasi dan personel media iaitu KDN (akhbar),
Kementerian Penerangan (akreditasi akhbar), KTAK (pelesenan multimedia,
syarikat telekomunikasi dan sebagainya), Kementerian Perpaduan,
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Finas dan lain-lain).
  Kerajaan sepatutnya mempertimbangkan penubuhan sebuah kementerian
khusus untuk menangani media dan komunikasi di negara ini. Kementerian
ini boleh dinamakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Kementerian
baru ini patut memasukkan komponen akhbar (termasuk undang-undang) dari
KDN, komponen komunikasi dari KTAK dan komponen penerangan dari
Kementerian Penerangan. Finas dan agensi berkaitan patut dimasukkan juga
di bawah kementerian baru ini.
  Kementerian baru ini akan lebih berupaya untuk menguruskan soal
penerangan dan komunikasi serta mempunyai lebih kefahaman kemanusiaan
(berbanding komoditi).
  Pada masa lalu, ada perbincangan untuk mengkorporatkan Jabatan
Penyiaran. Adalah tidak sesuai untuk meletakkan Jabatan Penyiaran sebagai
pelaksana di bawah kementerian baru ini. Oleh itu, ia patut diasing dan
diwujudkan sebagai sebuah badan seperti BBC.
  Suruhanjaya Media yang dicadangkan lebih awal, dibuat di atas
kepercayaan bahawa penubuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia adalah
sesuatu yang muktamad. Oleh itu, dicadangkan supaya industri media
mempunyai sebuah suruhanjaya sendiri.
  Dari segi pelaksanaannya, kita tidak perlu melihat jauh kerana
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia boleh dijadikan contoh. Ia adalah
sebuah badan statutori yang mempunyai badan kawal selia sendiri, iaitu
forum kandungan. Jika diwujudkan berasingan, Suruhanjaya Media patut
mempunyai forum kandungannya sendiri.
  Bagaimanapun, adalah satu pilihan yang lebih baik untuk mewujudkan
sebuah Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau sebarang nama lain,
yang komposisinya seperti disebut sebelum ini. Suruhanjaya Media boleh
diserap di dalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, manakala
sebahagian daripada fungsi Majlis Media boleh diserapkan di dalam forum
kandungan.
  *Penulis ialah pensyarah Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti
Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM
                              (END)

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: